Sunday, March 20, 2011

latihan

<br />Sila padankan gambar dengan huruf yang betul<br />






















Sila padankan gambar dengan huruf yang betul



Matching exercise








Match the items on the right to the items on the left.





















Read rest of entry

Thursday, January 20, 2011

Ada Apa Dengan AUKU???


Secara peribadi, saya menyambut baik hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di bawah YB Dato’ Khaleed Noordin; yang pernah satu ketika dahulu untuk menilai semula AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti, 1971 / Pindaan 1974). YB Khaleed Nordin mahu menilai semula AUKU ini demi memberi kebebasan berpersatuan dan autonomi kampus kepada warga Universiti. Namun, dalam pengetahuan saya, perkara ini juga telah pun dinyatakan oleh dua (2) Menteri KPT sebelum beliau; Datuk Mustapha Muhammad dan Dato’ Shafie Salleh. Kita telah maklumi bahawa masih belum ada apa-apa inisiatif dalam hasrat ini. TV3 ada melancarkan kutipan responden. Alhamdulillah, lebih 80 peratus setuju AUKU ini dikaji semula.

Bagi saya, AUKU ini patut dimansuhkan bukan kerana pandangan umum rakyat Malaysia, tetapi kerana substance AUKU itu sendiri jelas zalim dan langsung tidak menjunjung tradisi keintelektualan mahasiswa dan Universiti. Satu-satu perkara yang zalim ini wajib disanggah, biarpun hanya didokong oleh satu jiwa yang adil sahaja.

KPT telah menerima kertas putih dari Jawatankuasa Mengkaji dan Mereputasi kedudukan IPTA tempatan sebelum ini. Jawatankuasa tersebut ditubuhkan pasca kejatuhan ranking IPTA (merujuk pada Universiti Malaya) dari tangga ke-89 ke tangga 169 ; sebagaimana yang dikeluarkan oleh Times Higher Education Supplement (THES).

Jawatankuasa tersebut telah menyatakan beberapa cadangan. Salah satunya adalah memansuhkan AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti). Namun, sehingga kini KPT seolah-olah memandang enteng cadangan-cadangan yang telah disampaikan oleh ahli akademik dan cendekiawan tempatan. Perkara seumpama ini sepatutnya dikesali bersama.

Saya ingin memetik pendapat Junaidi Abu Bakar dalam buku Mahasiswa dan Undang-Undang dengan izin. Menurut beliau, setiap undang-undang yang digubal mesti mempunyai niat pengubalannya. Begitu juga dengan AUKU, digubal selepas berlakunya beberapa aksi mahasiswa – (1)penyebaran Manifesto Mahasiswa oleh PMUM (Pertubuhan Mahasiswa Universiti Malaya) menjelang PRU4 sehingga menggugat status quo parti-parti memerintah; (2)Demontrasi anti-Tunku (29/8/69); (3)Demontasi ‘Papan Tanda’ demi mempertahankan bahasa Melayu di UM; dan sebagainya.

Selepas berlakunya beberapa peristiwa tersebut, kerajaan telah menubuhkan ‘Jawatankuasa Mengkaji Kampus’ dan AUKU ini diperkenalkan dan digazet di Parlimen yang mulia ini. Sila rujuk Laporan Muhammad Abu Bakar dalam Mahasiswa Menggugat. Persoalan yang ingin saya timbulkan, adakah mahasiswa pada ketika itu melakukan suatu jenayah di sisi undang-undang Malaysia atau Kerajaan sendiri sebenarnya cuba untuk menutup pekungnya sendiri dengan melumpuhkan aktivitisme mahasiswa secara berperundangan?

Saya secara peribadi yakin, niat pengubalan AUKU ini demi menutup pekung kerajaan semata-mata daripada diketahui umum melalui suara mahasiswa. Sudah lebih 37 tahun, AUKU ini dikuatkuasa ke atas anak-anak kita di kampus. Dan selama itu juga kita telah lihat sejauhmana perkembangan generasi muda dan IPT di Malaysia. Saya telah meneliti beberapa perkara dalam AUKU ini dan saya dapati banyak perkara dalam AUKU ini jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia sebagai yang dijamin oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, 1948 dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Islam Sejagat, 1981.

Saya ingin menyebut beberapa seksyen dalam AUKU ini yang jelas bertentangan dengan hak asasi manusia, Seksyen-seksyen tersebut adalah Sekyen 7(1), Sekyen 7(3), Sekyen 8, Sekyen 9, Sekyen 11, Sekyen 12, Sekyen 15(1), Sekyen 15(2), Sekyen 15(3), Sekyen 15(4), Sekyen 15A(1), Sekyen 15A(2), Sekyen 15B(1), Sekyen 15D(1), Sekyen 16 dan banyak lagi. Pendek kata, AUKU hampir kesemua seksyen adalah bertentangan dengan Hak Asasi Manusia. Saya ingin membawa contoh, merujuk pada Seksyen 15(3) dan 15(4), AUKU: Melarang pelajar dan pertubuhan pelajar menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik, kesatuan sekerja dan lain-lain pertubuhan.

Bagi saya, akta di atas ini bertentangan dengan Hak Asasi Manusia; kebebasan bersuara dan berpertubuhan sebagaimana yang dijamin oleh Hak Asasi Manusia. Kadang-kadang, saya melihat tukang sapu sampah atau pemandu teksi atau peniaga yang usianya sebaya dengan usia mahasiswa jauh lebih bertuah di Malaysia ini kerana mereka bebas bersuara dan berpertubuhan serta berorganisasi. Justeru, pada hemat saya AUKU ini dimansuhkan. AUKU juga sebenarnya jelas berdiskriminasi hak-hak kemahasiswaan dan tidak berperikemanusian.

Saya ingin membawa contoh, dengan izin. Sila rujuk Seksyen 15D(1):

“Jika seseorang pelajar Universiti dipertuduhkan di bawah kesalahan jenayah maka ianya hendaklah dengan serta-merta digantung daripada menjadi seorang pelajar dan ia tidak boleh, dalam masa menunggu keputusan perbicaraan jenayah itu, tinggal atau masuk dalam kampus atau kampus mana-mana universiti lain.

Dalam disiplin ilmu undang-undang, terdapat suatu maksim yang menegaskan bahawa seseorang individu tidak akan bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah (a man is not guilty until he is proven guilty). Berdasarkan pada nature of law dan contoh seksyen AUKU di atas, jelasnya berlaku pra-penghakiman (pre judgement conviction).

Kes ini lebih ketara dalam isu penangkapan ISA7 yang belum selesai sehingga kini, namun hak belajar dan menerima keadilan di Universiti telah dinafikan oleh mereka. Selain itu juga boleh merujuk dalam isu Norlia bte Syukri vs Universiti of Malaya, 1978 dalam laporan Tribunal Tatatertib Universiti, UM dan laporan tindakan ke atas 1 orang mahasiswa yang ditahan beberapa bulan lepas dan diberikan amaran keras oleh tatatertib Universiti kerana kesalahan mendatangkan kesan buruk secara langsung atau tidak langsung kepada universiti kerana menubuhkan Parti Mahasiswa Negara. Hasil penghujahan yang dilaporkan media dan tribunal perbicaraan walaupun sabit kesalahan tetapi AUKU terbatal sama sekali untuk menjatuhkan hukuman kepada beliau kerana ia bercanggah dengan undang-undang persekutuan dan perlembagaan yang memberikan ruang dan hak yang luas kepada warganegaranya untuk bersuara dan menyatakan pendapat. Jadi hingga kini saya masih keliru di manakah relevannya akta ala rimba ini dan ‘validity’ nya dalam perlaksanaan di kampus bagi mengekang keterlibatan serta mematikan idealisma mahasiswa.

Status Umur 21 tahun, mahasiswa layak berpolitik

Berhubung dengan status umur 21 tahun, sewajarnya bila bergelar student/mahasiswa ; mahasiswa semestinya diberikan ruang dan peluang agar dapat bertindak dan berperanan dengan lebih proaktif, sebagai agen/entiti yang boleh menjadi sebahagian elementasi "check & balance" iaitu semak dan imbang, bersuara memberikan pandangan, menyumbang idea dan sumbangsaran yang lebih baik kepada pihak kerajaan agar lunas demokrasi, pembangunan dan proses pentadbiran yang diamalkan dapat dilaksanakan secara seimbang dan saksama bukan hanya mahasiswa sekadar pergi mengundi pada pilihanraya. Rasionalnya, kewujudan AUKU telah menyekat peranan ini. Bagi saya, mahasiswa mempunyai kapasiti, dan lebih berautoriti untuk berbicara dan mengutarakan pendapat kerana mereka lahir dan hadir daripada kelompok cerdik pandai dan berilmu pengetahuan. Adakah kerajaan takut dan bimbang dengan keberhadiran kelompok mahasiswa yang mempunyai kesedaran ini? Apa bezanya mahasiswa dengan belia muda yang berusia 21 tahun yang diberikan ruang tanpa sekatan, cuma mahasiswa diberikan peluang melanjutkan pelajaran. Natijahnya, apabila bergelar mahasiswa, aku janji dan AUKU dijadikan taruhan/ cagaran, diusung ke sana ke mari hanya dengan tujuan untuk mengekang segala kelibat dan menyekat idealisma mereka sebagai mahasiswa, adakah ini demokrasi? Sewajarnya pihak kerajaan menyokong tindakan ini kerana modal insan yang sebeginilah yang sepatutnya kita lahirkan demi generasi yang lebih cemerlang pada masa akan datang. "Generasi Baru Untuk Malaysia Yang Baru"

Insan yang baik semestinya warganegara yang baik, namun apa yang terjadi kita mampu melahirkan warganegara yang hanya menjadi pengikut yang setia yang kadangkala tidak mengerti apa tanggungjawab dan tuntutan yang perlu ditunaikan sebagai warganegara. Bagi warga pelajar dan mahasiswa, segalanya bermula dengan pendidikan yang akhirnya membuahkan kefahaman dan mencetuskan kesedaran. Apa yang berlaku sistem pendidikan kita gagal melahirkan insan yang baik kerana ia masih bersifat konservatif dan tidak efektif. Para pelajar masih kekal dengan sistem pelajaran kuno (disuap) tanpa di didik agar berfikir dan bertindak, seolah-olah semuanya telah dicaturkan. Senario ini berlaku di semua peringkat/tahap pengajian sama ada rendah, menengah atau tinggi. Kegagalan memikirkan formulasi yang terbaik dalam menyelesaikan masalah ini akhirnya pada persepsi saya akan menyebabkan kita masih dan terus gagal membina masyarakat dan melahirkan generasi warganegara yang baik. Bagaimana boleh melahirkan insan dan warganegara yang baik sekiranya pendedahan tentang peranan itupun tidak cuba diterapkan dengan komprehensif dan konsisten dilapangan ilmu yang sebenar. Ini terbukti kelemahan sistem pendidikan kita tidak berupaya melahirkan warganegara yang prihatin, peka, proaktif kerana kesedaran komponen pendidikan politik pun tidak dapat disalurkan dengan sistematik di segenap lapisan masyarakat. Adakah ia menjadi ketakutan, kegusaran, dan kebimbangan kepada pihak kerajaan sekiranya gelombang kesedaran itu muncul ditengah masyarakat atas dasar kefahaman, keprihatinan dan kepekaan..

Lantaran itu, buat pihak kerajaan dan parti pemerintah, saya amat kesal dan kecewa dengan pihak kerajaan kerana gagal memulangkan segala mandat dan kepercayaan yang diberikan pada pilihanraya yang lepas (PRU 12, Mac 2008) kemenangan pada pilihanraya yang lalu hanya dari kacamata kemenangan kerusi (parlimen & DUN) semata, namun tampak jelas hampir 3 tahun memegang amanah ini, pentadbiran dan kepimpinan ini hanya seolah-olah melepaskan batuk ditangga, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib dan kabinetnya pada amatan saya adalah terlalu lemah walaupun gagasan 1 Malaysia seolah-olah suatu omongan kosong yang cantik pada luaran dan bersifat retorik semata-mata, semakin banyak isu (keselamatan negara, kehakiman, pendidikan, sosial, bencana ekonomi dll) dan gejala salah laku para pegawai kerajaan dan bapak menteri (rasuah, skandal seks, korupsi, pembunuhan dll) semakin hangat didedahkan di dada akhbar dan media massa. Semuanya gagal ditangani dengan baik dan hanya sekadar respon tetapi tidak serius dalam segala tindakan yang diambil. Terlalu banyak kelompangan yang berlaku, namun rakyat tidak diberikan kesedaran dan penerangan, mereka semakin ditindas dan dipergunakan. Sudah masanya rakyat memikirkan sesuatu yang lebih baik untuk memilih kepimpinan negara yang lebih baik pada masa hadapan. Sewajarnya, kita bersedia dan berani membuat perubahan dan bertukar kerajaan jika diberi peluang pada masa akan datang.

Di tambah pula, baru-baru ini isu 4 orang pelajar UKM ditangkap atas pertuduhan berkempen pada pilihan raya Hulu Selangor dan Kes Rosmah Puaka adalah sesuatu yang naif. Adakah layak dan sewajarnya mereka dihukum tanpa meminta penjelasan dan pengadilan serta pihak Universiti menggunakan AUKU sewenang-wenangnya, arahan yang agak tergopoh gapah dan tindakan melulu yang dikeluarkan oleh KPT kepada para Naib Canselor agar mengenalpasti dan mengenakan tindakan kepada mahasiswa yang terlibat dengan politik dan unsur negatif yang mungkin suatu konspirasi ini adalah satu perkara yang pada pandangan saya adalah bukan sebagai penguatkuasaan undang-undang (AUKU) kerana mahasiswa bukanlah "penjenayah" yang dikehendaki, tetapi apa yang kami lakukan ini adalah untuk membuktikan bahawa terlalu banyak kelemahan dan kepincangan yang terjadi dalam negara. Pada amatan kami arahan yang dikeluarkan itu adalah sebagai usaha untuk mempertahankan kekebalan parti pemerintah/ kerajaan dan melindungi segala kepentingan mereka kerana mereka amat bimbang ketika mana mahasiswa terlibat secara langsung dalam mematangkan politik negara dan bersuara.

Terbaru, kerajaan melalui jemaah menteri sebulat suara melarang mahasiswa terlibat aktif dalam politik? Ketakutan semakin memuncak, segalanya nampak terdesak. Forum ‘student power’ pula telah diharamkan di UiTM. Adakah semua ini mampu menghalang kebangkitan mahasiswa? Ataupun mahasiswa yang ada masih tidak sedar tentang apa yang sedang berlaku. Jika dipandang secara sinikalnya, apakah tiada beza antara mahasiswa dan belia muda diluar sana yang bebas menentukan warna politik dan anutan idealisme mereka yang tersendiri. Justeru, hari ini, seluruh elemen gerakan mahasiswa perlu duduk semeja. Bermuhasabahlah. AUKU telah berjaya dipinda. Slogan “Mansuhkan AUKU” entah hilang ke mana. Tekad perlu dibulatkan. Semangat perlu disemarakkan. Benar, AUKU bukan segala-galanya. Aktivisme mahasiswa tidak akan sama-sekali terkesan dengan AUKU. Namun, perlu kita ingat bahawa AUKUlah yang selama ini telah menjadi demon dan dogma jahat yang ditakuti oleh rakan-rakan mahasiswa kita yang lain sehingga mereka terperosok jauh ke dalam kehidupan kampus mereka yang sia-sia.

"Most of the important things in the world have been accomplished by people who have kept on trying when there seemed to be no hope at all." - Dale Carnegie

"Teguh Bersatu Demi Kebenaran, Hidup Mahasiswa"- Azlan Zainal
Read rest of entry

Sunday, October 3, 2010

2010 - tahun kebangkitan anak muda


Kalau diteliti, usia paling berpotensi seorang pemuda adalah usia antara 20 sehingga 30 tahun, maka mahasiswa adalah elemen terpenting dari golongan ini. Mahasiswa ini berada pada posisi yang sangat menguntungkan. Baik dari segi usia (masa pencapaian potensi maksima) mahupun dari segi lingkungannya yang berupa lingkungan akademis. Kemampatan emosi yang ditunjangi dengan intelektual yang cukup akan menghasilkan sebuah idealisme. Idealisme yang dihasilkan ini umumnya masih fitrah, dengan erti kata idealisme itu dibangunkan atas dasar keinginan untuk mewujudkan suatu sistem yang bersih dan adil. Bukan idealisme yang telah dikotori oleh najis kekuasaan, kekayaan atau kepentingan lainnya.

Itulah sebabnya kebanyakkan pergolakan atau penentangan kepada penguasa bermula dari kampus. Orang-orang yang sedang memiliki “idealisme fitrah” itu kalau dihadapkan pada sebuah ketidakadilan atau sesuatu yang tak sesuai dengan idealisme itu, maka timbullah jiwa yang memberontak. Dengan demikian muncullah gerakan-gerakan menentang penguasa yang digerakkan oleh mahasiswa. Disitulah terlihatnya kehebatan gerakan ini. Pemerintah atau penguasa sebenarnya tidak begitu selesa dengan situasi ini, sehingga terkadang gerakan ini harus dihentikan dengan keras, ugutan dan tidak terlepas yang dikenakan undang-undang zalim terhadap mereka iaitu Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku).

Gerakan Mahasiswa merupakan sebuah gerakan yang tak mudah ditambat tengkoknya dan dicucuk hidungnya. Dibanding masyarakat awam, mereka ini jauh lebih faham dengan situasi politi terkini. Dunia kampus telah menyajikan jendela bagi mereka untuk membuka mata melihat apa sebenarnya yang terjadi saat ini. Dari kampus ini pulalah terlahir gerakan-gerakan atau perkumpulan mahasiswa yang wujud kesatuan aksi, himpunan dan sebagainya. Kebangkitan gerakan mahasiswa yang dijalankan hampir setiap kampus di Malaysia saat ini, semakin menambah wawasan dan keterampilan politik para mahasiswa.

Namun hanya bermodalkan mahasiswa saja belum menjamin akan menjadi seorang yang memiliki sebuah idealis terutama yang bersangkutan dengan ilmu politik. Secara garis besar mahasiswa dibahagikan menjadi dua; aktivis kampus dan study oriented. Mahasiswa yang ber”mazhab” study oriented hanya memiliki satu misi dalam kuliahnya; belajar dan mencapai nilai pointer setinggi-tingginya. Mahasiswa jenis ini tak akan mengambil tahu dengan percaturan politik yang sedang berlansung. Baik politik internal atau politik kampus, apatah lagi politik di luar kampus (negara). Berbeza dengan mahasiswa yang bergelar aktivis kampus. Mereka ini memiliki pengetahuan yang tinggi terhadap segala apa yang dicorak oleh penguasa, baik di dunia kampus ataupun juga dunia luar kampus.

Memang banyak godaan dan tangan-tangan gelap yang menghalang seorang pemuda pada masa ini untuk melihat kebenaran dan keadilan, namun disitulah letaknya tentangannya. Tentangan yang harus diharungi seseorang untuk mencapai kejayaan itu. Banyak anak muda yang terlena dengan berbagai macam godaan sehingga ia terlupa akan potensi-potensi yang sedang dimilikinya. Dengan demikinan maka beruntunglah mereka yang tak terlena oleh godaan-godaan itu serta dapat memanfaatkan potensinnya yang ada.

Peranan mereka sebagai mahasiswa pada saat ini bukan hanya sekadar duduk dan mendengarkan sahaja pemerintah berbicara. Mereka merasakan dan menyedari keprihatinan akan keadaaan Malaysia, mereka berjuang dan cita-cita mereka hanya satu, memberi kesan yang besar bagi tranfomasi Malaysia yang lebih baik dan bermartabat. Walaupun keadaan ini tidak disenangi beberapa pihak yang ingin menjaga sesuap nasi mereka, akan tetapi ini bukanlah satu perkara yang besar bagi mahasiswa yang berjiwa tinggi untuk menyatakan kebenaran, menegur kemungkaran.

2010 merupakan tahun kebangkitan gerakan mahasiswa. Mahasiswa, anak muda dan orang ramai mula tersentak dan tersedar dari lena yang panjang, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) bukan lagi akta yang melindungi dan memberi kebaikan kepada mahasiswa khususnya tetapi akta ini menzalimi mereka dan menghalang suara-suara mereka yang ingin menyatakan kebenaran. Ayuh anak muda harapan Agama, harapan Bangsa dan Negara, mari kita sama-sama optimumkan potensi diri yang ada, dalam memperjuangkan hak dan mencapai misi yang utama iaitu tranfomasi Malaysia kearah lebih baik. Gunakan segala medium yang ada. Maksimakan pengunaan Blog, Facebook, youtube dan sebagainya untuk dijadikan senjata, dan pastikan senjata itu sentiasa tajam untuk menikam musuh yang menghalang.

“Kebangkitan gerakan mahasiswa Islam sudah tiba masanya dan kita sendiri sudah tidak sabar untuk mempamerkan wajah kita yang sebenar. Menawan kampus, bermakna kita menawan negara. Tarbiah yang kita terapkan selama ini, sudah meraung-raung untuk dilepaskan dalam bentuk yang lebih kental. Lalu, jiwa-jiwa dan hati-hati kecil kita bagaikan soldadu yang sedia menerima arahan untuk bertindak. Ya, kebangkitan ini, diumpamakan tiupan angin lembut yang tiba-tiba meruap ganas. Ditiup gunung, gunung tercabut. Diterpa lautan, lautan bergelora.”

~http://seutastasbih.blogspot.com~
Read rest of entry

Wednesday, March 17, 2010

Menanti kebebasan bersuara 'Parlimen Mahasiswa'


Parlimen mahasiswa yang dicetuskan oleh Mohammad Syafiq Abdul Aziz, mantan Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (YDP MPP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah dipersetujui penubuhannya oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi. Warga kampus USM sememangnya sangat berlapang dada serta berfikiran terbuka dengan Parlimen Mahasiswa ini walaupun ramai lagi mahasiswa yang tidak tahu dan sedar mengenai penubuhannya. Dalam hal ini, Pro Mahasiswa sangat berbesar hati dan ternanti-nanti kehadiran Parlimen Mahasiswa itu sendiri.
Beberapa minggu yang lalu, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar (BHEPP) dan MPP mengadakan bengkel penggubalan Parlimen Mahasiswa. Hal ini untuk memastikan kelangsungan kaedah, peraturan dan undang-undang parlimen tersebut. Berdasarkan temubual Pro-M dengan seorang peserta bengkel tersebut, Muslihah binti Mazlan, beliau mengakui terdapat kekeliruan dan kekaburan dengan pelaksanaan parlimen tersebut. Hal ini sudah terang lagi bersuluh kerana persidangan Parlimen Mahasiswa adalah dibatasi oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan juga bakal terikat dengan sebuah lagi akta yang dalam proses penggubalannya.
Perkara ini sekaligus mengundang perselisihan faham kerana melalui takrifan parlimen itu sendiri merujuk kepada sebuah majlis yang mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang. Jadi mengapakah mahasiswa dalam konteks pelaksanaan parlimen perlu dibatasi oleh AUKU? Bukankah ia dikatakan bakal menjadi platform untuk mahasiswa melontarkan idea dan pandangan tentang masalah yang berlaku di kampus dan dalam Malaysia (kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi)? Memang terdapat pihak-pihak yang menyatakan mahasiswa tidak salah bercakap tentang hal politik negara dalam persidangan, namun ia adalah secara akademik. Jelasnya, sebarang kritikan akan menimbulkan isu bahawa mahasiswa membangkang itu dan ini. Justeru, pelbagai persoalan yang bermain dalam benak fikiran mahasiswa.
Sekiranya Parlimen Mahasiswa tersekat dan disekat oleh AUKU , maka di manakah hak kebebasan bersuara mahasiswa? Kebebasan bersuara yang dimaksudkan di sini adalah tiada sebarang sekatan oleh mana-mana pihak berkepentingan dalam mahasiswa untuk melontarkan idea dan kritikan membina secara akademik dan intelek. Jikalau demikian, bagaimanakah suara mahasiswa ini akan menyumbang kepada pembangunan negara? Mahasiswa perlu bertindak sebagai ‘check and balance’ kepada seluruh persekitarannya. Sekali lagi dijelaskan di sini, pendirian Pro-M sangat meraikan persidangan Parlimen Mahasiswa ini dan tidak sama sekali berniat untuk menghentikan penubuhannya.
Selain itu, ketika segala undang-undang berkaitan Parlimen Mahasiswa ini ‘diharmonikan’ oleh pihak-pihak tertentu, tidak ada seorang mahasiswa pun didedahkan tentangnya. Adakah ia bercanggah daripada resolusi bengkel penggubalan undang-undang yang terdahulu diadakan? Tiada siapa yang tahu dan sudah pastinya apabila ia diwartakan, amat sukar untuk undang-undang tersebut dipinda kerana akan mengambil masa yang lama. Sebagai contoh, pemindaan AUKU seksyen 15 yang mengambil period yang panjang dan apa yang dipinda itu ‘masih belum sempurna’. Justeru, inilah yang menjadi sebahagian perkara yang amat dikesali oleh peserta bengkel tersebut.
Kerana kami merasakan sukar untuk mendapat pengiktirafan universiti agar suara mahasiswa didengari pihak atasan, oleh itu Pro-M sangat menginginkan kelancaran dalam penggubalan perlembagaan Parlimen Mahasiswa ini. Pihak Pro-M tidak pernah melakukan kezaliman kerana menghukum sesuatu terhadap perkara yang belum dipastikan. Malah, merahsiakan perwartaan undang-undang daripada pihak mahasiswa merupakan suatu tindakan yang ‘tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya’.
Maka dengan itu, pihak Pro Mahasiswa bangkit untuk menuntut dua tuntutan berhubung Parlimen Mahasiswa, iaitu:
1. Undang-undang termasuk tatacara, kaedah dan sebagainya dibentangkan kepada seluruh mahasiswa kampus USM sebagai penjelasan kepada mahasiswa walaupun ia telah ‘diharmonikan’.
2. Sebarang kritikan, penambah baikan, cadangan dan saranan boleh dilakukan terhadap undang-undang ini oleh seluruh mahasiswa kampus USM sebelum perkara ini diwartakan.
Sekali lagi diingatkan, tuntutan ini perlu dilaksanakan sebelum perlembagaan Parlimen Mahasiswa diwartakan. Justeru, tuntutan Pro-M ini adalah untuk memastikan seluruh warga kampus USM sentiasa ‘alert’ dengan keadaan dan isu yang berlaku dalam kampus. Seterusnya, ia berfungsi untuk mencambahkan fikiran mahasiswa agar tidak terlalu tertutup dan dibelenggu oleh mana-mana pihak. Bebaskan fikiran mahasiswa.
Konklusinya, kami melihat penubuhan Parlimen Mahasiswa ini sebagai titik mula mahasiswa untuk bebas bersuara dan bukan hanya retorik politik semata-mata. HIDUP, HIDUP MAHASISWA!
Read rest of entry

Saturday, February 20, 2010

UNIVERSITI ADALAH RUMAH PENYEMBELIHAN - AL-MAUDUDI


Bismillahirrahmanirrahim, Alhamdulillah segala pujian buat ALLAH di atas nikmat IMAN & ISLAM serta nikmat SIHAT & LAPANG. Selawat dan salam semoga dilimpahkan ke atas Rasulullah SAW, Keluarga, para sahabat dan orang – orang yang mengikutinya.

Amma Ba’du . . .

1. Satu hari yang biasa & seperti kebiasaannya, saya mengembara di LAUTAN MAYA yang sering bergelora. Kalau ikut bahasa modennya : Melayari INTERNET namanya. Apa yang BERGELORA? Yalah, bergelora . . . Macam – macam ada dalam INTERNET. PEPERANGAN TEKNOLOGI. Di antara media antarabangsa, media kampus, media politik, bloggers, chatters & macam – macam lagi. Ada hiburan, ada sastera, ada fakta, ada baik & ada buruk.

2. Saya tertarik dengan sebuah blog seorang sahabat. Kisah & huraian Mengenai perjuangan Hassan AL-Banna sehinggalah kepada perjuangan Rasulullah SAW dalam usaha mengkaderkan pendakwah, penyokong & pendokong ISLAM. Di situ juga beliau menulis petikan dari ucapan Abul 'Ala al-Maududi. Begini petikannya :

"Wahai Pelajar! Kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat di mana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi satu kesukaran buat aku berterus-terang kepada kamu pada saat ini.

Walaubagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik ini, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.


Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan yang teruk. Aku seperti seseorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat di sini."


3. Kalau diteliti ucapan AL-MAUDUDI, kita melihat seolah – olah beliau sudah tidak percaya kepada institusi pendidikan yang bernama UNIVERSITI. Secara ringkasnya, saya anggapkan beliau hilang kepercayaan dengan sistem pendidikan di Universiti. Kerana apa saya berkata demikian?

4. Itulah realiti hari ini, saban hari kalau kita lihat adik – adik kita yang UPSR nya, PMR nya SPM dan STPM nya, semuanya makin cemerlang & baik – baik belaka. Di universiti pun sama juga. Tapi dengan ILMU itu, dengan kecemerlangan itu, adakah MASYARAKAT kita bertambah baik? Dengan Mat Rempitnya, Zinanya, Pelacurannya, Rasuahnya & sebagainya yang semakin bertambah pula.

5. Tepatlah, universiti sekarang tidak ubah seperti 'rumah penyembelihan'. Sekolah-sekolah, universiti-universiti tidak lagi berperanan sebagai madrasah tarbiyyah seperti yang diamalkan Rasulullah s.a.w dan kemudian diwarisi para sahabat baginda, seterusnya al-Banna dan al-Maududi. Sekolah – sekolah pada hari ini, lebih kepada akademik semata – mata & bukannya pembangunan ruhiyah mahupun melahirkan modal insan. Barangkali, kalau ada pun dua tiga buah tempat.

6. Apapun itu pandangan AL-MAUDUDI, sama ada mahu bersetuju atau tidak dengan ucapan Abul A’la Al-maududi. Itu terpulang kepada pandangan masing-masing. Tetapi, pada pandangan saya, jika diteliti ; ada kebenaran dalam ucapan tersebut. Pun begitu, saya tidaklah nak mengupas panjang tentang ucapan AL-MAUDUDI, bagi saya ianya tetap bermula dari peribadi sendiri, samada hendak berubah atau tidak mahu berubah. Samada hendak jadi Mat rempit atau lain – lain. Tetapi Di mana silapnya?

7. Barangkali, boleh saya katakan usaha dakwah kita agak lembab. Kini, yang tinggal mungkin 'raga dakwah' sedangkan 'jiwa, ruh dakwah' hilang ke mana? Yalah, urusan dakwah semakin ditenggelami dengan arus pertengkaran antara Salafi, wahabi, Syiah dan Jamaah lain di IPT. Juga ditenggelami dengan banyak lagi kekangan. Tapi, tidak mengapa : kerana itu lah sunnah perjuangan, dalam usaha menegakkan yang hak, pasti adanya kebatilan.

8. Apapun Usrah jualah sebenarnya tunjang dakwah. Bukankah usrah itu medan akliah? Usrah yang saya maksudkan, bukan duduk dalam bulatan semata – mata, dan kemudiannya berbincang tentang AKIDAH, TAUHID dan sebagainya. Tetapi, apa sahaja yang dikatakan YAD’UNA ILAL KHOIR, yakni mengajak kepada kebaikan. Hassan AL-Banna sendiri, usrahnya di kedai – kedai kopi. Duduk lepak dan bercakap soal hidup, soal dunia yang tidak lari dari hadaf untuk mengajak manusia kepada kebaikan.

9. Hari ini kita boleh melihat MAHASISWA yang hebat berpidato mahupun hebat dari segi penulisannya. Namun, KEHEBATAN BERPIDATO dan MUTU PENULISAN bukan lah kayu ukur sebagai seorang PEMIMPIN atau DA’IE. Tetapi soal yang lebih penting ialah sejauh manakah dia mampu mempertahankan prinsipnya. Mereka mungkin memiliki seni berpidato yang baik. Tapi, setelah ditimpa dugaan, akhirnya mengalah, mengelak dan kemudian cuba berdalih dengan menyatakan penulisan itu bukan miliknya dan lain-lain lagi.

10. Mungkin jika Rasulullah, Hasan al-Banna & Abul 'Ala al-Maududi masih hidup, entah bagaimanalah wajah pemikiran yang tercermin di dalam bingkai akliah mereka tatkala melihat fenomena MAHASISWA di pengajian tinggi hari ini?

Wallahu'alam.
Read rest of entry

Sunday, January 10, 2010

Mahasiswa Perlu Bebas Dari 'Compact Mentalized'


Sedikit rumusan yang boleh pendidik kongsikan hasil dari forum Fenomena Cintai Ilmu pada 7 Disember 2010 lalu. Tertarik dengan pencerahan yang diberikan oleh Profesor Baharuddin bin Salleh, pensyarah di Pusat Pengajian Kaji Hayat mengenai ilmu dan percambahan pemikiran yang perlu dilakukan oleh mahasiswa. Konsep ilmu ini adalah satu entiti keseluruhan. Oleh itu, ilmu tidak boleh dipisahkan dan dipecahkan. Hari ini, kita dapat lihat konsep ilmu ini seakan-akan sudah terpesong. Ilmu tidak lagi dianggap sebagai suatu entiti keseluruhan, tetapi dilihat dari sudut yang sempit oleh mahasiswa.

Menurut Prof. Baharuddin, mahasiswa perlu hindari pemikiran yang dikotak-kotakkan ataupun ‘compact mentalized’. Mahasiswa hari ini harus menghindarkan diri dari serangan pemikiran yang cuba menutup pemikiran dan mengelakkan pemikiran dari bercambah dan berfikir secara kritis tentang sesuatu.

Fenomena yang berlaku sekarang adalah, menuntut ilmu dijadikan rutin. Mahasiswa seperti sudah disetkan untuk menuntut ilmu untuk menjawab soalan yang bakal ditanya semasa peperiksaan. Kemana hilangnya nilai seorang mahasiswa yang suatu ketika dulu dianggap sebagai pewaris kepimpinan Negara??

Pendidik juga amat berminat dengan pernyataan yang dibuat oleh Prof. Madya Syakirah mengenai ‘rezeki’. Pandangan Prof. Madya Syakirah terhadapa mahasiswa yang dapat masuk ke dalam universiti merupakan satu rezeki. Oleh itu mahasiswa perlu hargai peluang yang diberikan. Kutip segala manfaat yang muncul sepanjang bergelar mahasiswa.

Pandangan yang diberikan oleh dua orang tokoh pelajar juga tidak menafikan untuk mahasiswa terus bergiat aktif diuniversiti. Bagi mereka terlibat aktif dalam persatuan atau aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh universiti untuk mendapatkan pelbagai pengalaman dan ilmu lain.

Secara keseluruhannya, kandungan forum tersebut, meninginkan mahasiswa untuk membuka mata dan melihat kepentingan ilmu dari pelbagai sudut. Bergiat aktif dalam persatuan dan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan. Wujudkan kembali suasana kampus yang penuh dengan wacana ilmiah, pandangan dari siswa siswi universiti terhadap pelbagai isu semasa dan lontaran suara bakal pelapis pimpinan Negara mengenai kepimpinan Negara sekarang. Semoga nilai MAHASISWA sebagai kepimpinan akan datang kembali cemerlang.

‘Ayuh Mahasiswa Kita Runtuhkan Tembok Pemisah Yang Mengongkong Kita Dari Berfikiran Jauh’
Read rest of entry

Friday, January 1, 2010

Pilihan Raya Kampus - mahasiswa perlu ambil tahu


Semakin hari semakin terasa bahang PILIHAN RAYA KAMPUS. Setelah ura-ura yang mengatakan MPP akan dibubarkan pada bulan oktober 2009 lalu, tidak benar, maka hanya tinggal satu lagi tarikh yang tinggal, pertengahan atau akhir bulan januari 2010. Pelbagai persepsi yang timbul mengenai PRK ini.

Golongan yang menjadi sasaran utama dalam PRK adalah pelajar tahun satu yang dilihat sebagai pengundi yang paling ramai berbanding pelajar yang lain. Atas sebab ini, pelbagai program yang telah dirancang bagi kumpulan pelajar sasaran ini.
Seperti yang selalu diperkatakan oleh rata-rata mahasiswa kampus, apabila ditanya tentang pilihan raya kampus, perkara pertama yang akan mereka katakana adalah ada dua golongan yang akan bertanding dalam pilihan raya iaitu ASPIRASI dan PRO-MAHASISWA.

Apabila ditanya pula berkenaan keduanya, mahasiswa masih lagi kabur dengan pembawaan kedua-duanya. Hanya segelintir sahaja yang bersikap ambil tahu isu kampus yang mengetahui akan keduanya, itu pun tidak jelas. Dengan itu, jelas membuktikan pertembungan hanya wujud dalam kelompok mahasiswa yang tegar dengan keduanya. Masing-masing membina persepsi sendiri.

Ulasan yang pendidik akan berikan di sini, untuk membawa mahasiswa berfikir. Mengapa ada segolongan mahasiswa yang mahu membuat suatu kelompok yang dinamakan PRO-MAHASISWA?? Mengapa pula wujud golongan yang bernama ASPIRASI?? Memang benarkah PRO-MAHASISWA ini menentang HEP?? Apa pula sebab ASPIRASI diwujudkan??

Pendidik ingin memetik sedikit ulasan di dalam entri yang telah dipos di dalam blog ASPIRASI yang mengatakan hal pilihan raya kampus.

Tidak semua calon sebenarnya faham dengan perkara-perkara tersebut. Sebaliknya, ada juga yang langsung menentang. Mereka ini sering tampil sebagai calon yang lebih gemar membangkang universiti, kurang rasa cintanya terhadap univeristi dan suka merendah-rendahkan setiap program atau aktiviti yang dijalankan. Mereka ini sering berlagak jaguh dan gemar mencipta persepsi negatif terhadap aspirasi universiti.

Benarkah hal ini benar-benar berlaku? Takkanlah pelajar hendak membangkang universiti sendiri? Tidak ramai yang tahu sebenarnya siapakah yang sering menjadi gunting dalam lipatan terhadap agenda universiti yang bertunjangkan kepentingan dan kebajikan pelajar sendiri. Sejak sekian lama, antara yang sering berlagak jaguh tersebut tentunya SPF, PBT dan juga PMI yang dikatakan membentuk pakatan pro-Mahasiswa di USM. Geng inilah yang sering menentang aspirasi universiti dalam apa juga program yang dijalankan termasuk program Perkampungan 1Siswa 1Malaysia baru-baru ini.- ASPIRASI CORNER

Pendidik tidak beranggapan golongan ini menetang universiti. Jika perkara itu benar dan tidak ada kepetingan mana-mana pihak terhadap sesuatu perkara tersebut, mana mungkin kelompok ini akan menentang. Jika pihak ASPIRASI beranggapan kelompok ini menentang tanpa bukti, maka pendidik melihat kelompok ini seperti budak-budak bodoh yang memang sengaja membuang masa.

Isu Perkampungan 1 Siswa 1 Malaysia, bukan PRO-MAHASISWA sahaja yang meluahkan rasa tidak puas hati, ramai suara dari mahasiswa sendiri menyatakan hal yang demikian. Persidangan meja bulat yang dijalankan tidak diumukan kepada semua akan resolusinya, mahasiswa hanya jelas akan aktiviti hiburan dan persembahan yang dilakukan. Namun, masih ramai lagi mahasiswa yang tidak tahu akan agenda, misi dan visi perkampungan tersebut dijalankan.

Apakah rasionalnya wujud sekelompok mahasiswa yang dikatakan menentang ini bersungguh-sungguh menentang?? Difikarkan logiknya, jika bukan kerana sesuatu yang amat penting bagi kelompok ini tentu mereka tidak akan bersusah payah membina satu kumpulan yang PRO terhadap MAHASISWA.

Atas kesedaran untuk menegur akan kesilapan yang dilakukan pihak pentadbiran dan mengembalikan hak yang mahasiswa ada, kelompok ini wujud. Untuk menjaga kebajikan mahasiswa dan mengembalikan kegemilangan mahasiswa yang dilihat sebagai golongan intelek yang akan menjadi pengganti pimpinan negara. Adakah sifat yang ditonjolkan oleh kelompok ini dianggap sebagai penentang??

Semoga sedikit ulasan yang pendidik utarakan dapat membawa mahasiswa berfikir dan bersama-sama dalam mengembalikan kegemilangan mahasiswa sebagai golongan yang serba boleh dan berkepimpinan. Pendidik mengharapkan mahasiswa dapat bersama-sama melibatkan diri didalam pilihan raya yang akan berlangsung tidak lama lagi dan timbulkan pelbagai persoalan tentang perkara-perkara yang berlaku.

Kearah kesejahteraan kepimpinan kampus
Read rest of entry
 

About Me

Sawalliyati Binti Abd Saleh

SK Parit Mahang

SR Agama Integrasi Nurul Huda

SAM Jeram

SAM Tinggi Hisamuddin

Kolej Matrikulasi Kedah

Universiti Sains Malaysia, Induk

Pendidikan Khas

– Major: Penglihatan

– Minor: Sejarah

sawalsaleh@gmail.com - email

sawalliyati abd saleh – facebook

Term of Use